Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang berjaya diselamatkan di Thailand selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kediamannya di Tumpat pada 13 September lalu, kini sudah pulang ke Kelantan.

Wanita berusia 36 tahun yang juga ibu kepada seorang anak itu dikatakan tiba di Kelantan hari ini.

Bagaimanapun, Rosnazirah tidak pulang ke kediamanya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat sebaliknya berada di satu lokasi di sini.

Ketua Polis KelantanDatuk Muhamad Zaki Harun dikatakan akan melawat mangsa di Kota Bharu petang ini.

Bagaimanapun, sehingga kini lokasi keberadaan Rosnazirah tidak diketahui dan dimaklumkan kepada pihak media.

ANGGOTA dan pegawai membawa tiga lelaki dihadap ke Mahkamah Ampang atas pertuduhan penculikan seorang ahli perniagaan dengan memaksa menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire putih. FOTO Azhar Ramli
ANGGOTA dan pegawai membawa tiga lelaki dihadap ke Mahkamah Ampang atas pertuduhan penculikan seorang ahli perniagaan dengan memaksa menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire putih. FOTO Azhar Ramli

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memaklumkan Rosnazirah berjaya diselamatkan susulan kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Beliau berkata, melalui kerjasama erat itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenal pasti lokasi keberadaan wanita itu di Thailand.

Mangsa dibawa pulang ke tanah air Khamis lalu dan seramai tujuh lelaki tempatan ditahan dalam kes berkenaan di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 2:16 PM