CHOW Kon Yeow. FOTO Arkib NSTP
CHOW Kon Yeow. FOTO Arkib NSTP
Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kerajaan negeri Pulau Pinang mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penjawat awam membabitkan jenayah rasuah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata penjawat awam, sama ada daripada pihak berkuasa, agensi Persekutuan, negeri atau tempatan yang didapati terbabit menerima rasuah, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu harus disiasat dan didakwa secepat mungkin.

"Tiada sesiapa berada di atas undang-undang dan kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan pegawai yang terbabit dengan amalan rasuah ditangani dengan serius.

"Pada masa sama, kerajaan negeri mahu SPRM telus dalam mendedahkan jumlah kes yang dihadapkan ke mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.

"Kami menuntut ketelusan pihak SPRM kerana kami tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri tercemar hanya dengan jumlah aduan yang diterima sejak 2019," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata amalan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam membimbangkan di Pulau Pinang.

Menurut Azam, berdasarkan statistik SPRM, sebanyak 919 aduan diterima pihaknya berhubung kesalahan itu sejak 2019 hingga kini.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Cakna Rasuah bersama radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 11:09 AM