LATHEEFA Koya (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
LATHEEFA Koya (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Siti Sofia Md Nasir


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang keperluan untuk membuka semula kes rasuah membabitkan banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, kes rasuah membabitkan Menteri Kewangan itu dianggap sudah selesai berikutan ia sudah diputuskan mahkamah pada tahun lalu.

“Bagi saya, kes itu sudah diputuskan mahkamah dan sudah selesai.

“Tidak masuk akal untuk kita buka balik kes berkenaan kecuali terdapat bukti baharu atau terdapat unsur yang salah dalam proses di mahkamah,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki melakukan Lawatan Kerja di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang.

September tahun lalu, Guan Eng dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Susulan itu, SPRM dilaporkan terkejut dengan keputusan mahkamah, selain menegaskan bahawa ia dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya suruhanjaya itu.

Selain itu, Latheefa berkata, SPRM sedang meneliti dan menyemak semula beberapa kes yang mendapat perhatian masyarakat, termasuk kes membabitkan orang kenamaan (VIP).

Beliau berkata, proses itu bagaimanapun mungkin mengambil masa, selain SPRM perlu melihat kembali bagaimana kes terbabit diselesaikan.

“Saya dimaklumkan ada banyak kes kontroversi, bukan hanya di Pulau Pinang malah di beberapa negeri lain seperti Sarawak dan Selangor.

“Saya sedang meneliti semula (kes terbabit) dan perlukan masa untuk lihat semula kes yang dapat perhatian orang awam dan VIP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:43 PM