Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang berkaitan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sepanjang 2020 hingga 2022.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri terbuka bagi menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan Negeri.

"Sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) yang ingin tahu mengenai jumlah kes SPRM yang disiasat di Pulau Pinang membabitkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan negeri.

Kon Yew berkata, bagi siasatan ke atas kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya membabitkan prosiding jenayah.

Katanya, kerajaan negeri juga telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan lengkap SPRM berhubung salah laku Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri sekiranya kes tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.

"Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM," katanya.

Pada 29 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, amalan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam membimbangkan di Pulau Pinang.

Menurut Azam, berdasarkan statistik SPRM sebanyak 919 aduan telah diterima berhubung kesalahan itu sejak 2019.

Kon Yeow berkata sehari kemudiannya Pejabat Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan meminta SPRM telus dalam mendedahkan jumlah kes rasuah yang dihadapkan ke mahkamah dan penjawat awam yang didapati bersalah di negeri itu.

Beliau berkata, hal ini bagi memastikan imej penjawat awam dan kerajaan negeri tidak tercemar hanya berdasarkan jumlah aduan yang diterima sejak 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 11:58 AM
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyampaikan ucapan Belanjawan Bajet 2023 negeri Pulau Pinang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyampaikan ucapan Belanjawan Bajet 2023 negeri Pulau Pinang pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG