Siti A'isyah Sukaimi


PENGERUSI syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abd Jalil terhadap individu terbabit sehingga 29 Januari di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Semalam, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, 2.44 petang.

DATUK Seri direman bantu siasatan kes terowong dasar laut di Pulau Pinang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
DATUK Seri direman bantu siasatan kes terowong dasar laut di Pulau Pinang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Harian Metro melaporkan, individu itu dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di negeri berkenaan bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

SPRM juga menyiasat sama ada individu lain turut terbabit bersubahat dalam pemalsuan dokumen berkenaan.

Sehingga hari ini, empat individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos RM305 juta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 12:09 PM