Kalidevi Mogan Kumarappa


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri yang terbabit dalam kajian projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, hari ini.

Difahamkan, suspek ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.44 petang, hari ini.

Menurut sumber, suspek berusia 62 tahun itu dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di negeri berkenaan yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Katanya, SPRM juga sedang menyiasat sama ada individu lain turut terbabit dalam bersubahat dalam pemalsuan dokumen itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Dengan penahanan hari ini, seramai empat individu sudah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos RM305 juta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 7:28 PM