FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pegawainya ditahan kerana cuba melupuskan fail kes bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan maklumat yang tular itu adalah palsu.

“Saya menafikan cerita ini (pegawai ditahan).

“Gambar pegawai SPRM ditahan yang disebarkan itu juga adalah kes lama dan tidak berkaitan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Terdahulu, tular menerusi aplikasi WhatsApp mengenai seorang pegawai SPRM ditahan bersama sejumlah wang.

Pegawai terbabit dikatakan cuba melupuskan fail berkait dakwaan salah guna kuasa Guan Eng ketika memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Mesej yang tular itu juga mendakwa kes berkenaan digugurkan oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Guan Eng pada 26 Jun 2016 ditahan SPRM di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 September 2018 melepas dan membebaskan Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 9:31 PM