Mohd Amin Jalil


Rembau: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan beliau tidak mengetahui intipati pertemuan antara Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat lanjut mengenai perkara yang dibincangkan kedua-dua pemimpin tertinggi berkenaan.

"Saya belum jumpa lagi Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), belum ada kesempatan, dengar khabar ada pertemuan antara dua Presiden Umno dengan Pas.

"Mungkin kami akan tahu pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, yang dijadual berlangsung esok.

"Esok ada biro politik dan 'top five' akan bertemu, saya rasa Presiden akan menerangkan apa yang dibincangkan mereka berdua," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA Peringkat Negeri Sembilan 2022, di sini, hari ini.

Mohamad diminta mengulas mengenai pertemuan kedua-dua pemimpin terbabit, baru-baru ini, sekali gus menguatkan cakap-cakap bahawa Muafakat Nasional (MN) bakal dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Media sebelum ini melaporkan keputusan perbincangan antara kedua-dua pemimpin parti Melayu berkenaan bakal dibawa ke mesyuarat MKT Umno, pada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata, dijangkakan banyak perkara akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

"Dalam agenda saya tak ada nampak (perkara babitkan pertemuan dua pemimpin) tapi kalau ada ahli yang akan bercakap, kita akan bincangkan.

"Dalam mesyuarat MKT kita bebas membincangkan, yang kutuk Presiden pun ada, Umno ini demokratik, dalam mesyuarat tiada agenda tetap," katanya.

Beliau berkata, sebagai pengerusi jawatankuasa pengurusan, beliau akan menerangkan mengenai lawatan dan pertemuan dengan 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 3:56 PM