Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual diadakan petang esok yang dijangka bakal hangat dengan pelbagai isu.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual diadakan petang esok yang dijangka bakal hangat dengan pelbagai isu.
Yusmizal Dolah Aling

TIADA agenda penggabungan pembangkang dengan Pakatan Harapan bakal dibincangkan dalam

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual diadakan petang esok.

Sebaliknya Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membincangkan hala tuju parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 15 akan datang.

Sumber berkata, keputusan mengenainya sudah diputuskan di dalam Biro Politik parti dan keutamaan akan diberikan kepada kekuatan parti.

Katanya, memang ada anggota MT yang menyokong parti untuk bergabung dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk gabungan baru.

“Tetapi Presiden juga sudah tahu bahawa ahli parti tidak bersetuju untuk bergabung, sebaliknya menghabiskan penggal ini sebagai pembangkang.

“Ini kerana, prestasi kerajaan juga dipersoalkan banyak pihak dan kita akan fokus dengan tugas pembangkang seperti pernah diucapkan Ahmad Zahid sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, antara perkara yang akan dibincangkan termasuklah tindakan kepada Datuk Lokman Noor Adam yang dilihat berterusan menegur di luar saluran sepatutnya.

“Ada yang akan membawa usul mengadakan Perhimpunan Agung UMNO luar biasa bagi mendengar keluhan akar umbi berhubung kedudukan parti.

“Pimpinan mendengar keluh kesah ahli di bawah mengenai isu penggabungan dengan Pakatan Harapan, jadi rasanya tidak dibincangkan isu ini esok,” katanya.

Bagaimanapun sumber lain pula menyifatkan mesyuarat esok bakal menjadi pentas kepada ahli UMNO bagi mendapatkan penjelasan daripada Ahmad Zahid berhubung lamaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mahu membentuk pakatan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataannya semalam memaklumkan isu berkenaan perlu dibincang dan dibahaskan dengan mendalam dan sejujur-jujurnya.

Katanya, apa jua ‘lamaran’ untuk UMNO menunjukkan parti ini didambakan semula dan menjadi terus berpengaruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 8:10 PM