AHMAD Zahid ketika sidang media Amanat Tahun Baharu 2023 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid ketika sidang media Amanat Tahun Baharu 2023 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas mengenai khabar angin apa yang dikatakan sebagai 'Langkah London' yang turut mengaitkan pemimpin partinya.

Menepis dakwaan terdapat usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak akan membuat keputusan berdasarkan kepada khabar angin.

"Saya dengar khabar angin. Saya tidak buat keputusan berlandaskan khabar angin," katanya pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, di kementeriannya, di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan penafian Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap dakwaan dikaitkan dengan gerakan cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan membabitkan beberapa pemimpin politik, termasuk daripada Umno dan pemimpin parti pembangkang.

Pemimpin berkenaan dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini.

Ismail Sabri dilaporkan mendakwa beliau menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang 'tidak mengenal dosa' apabila dikaitkan dengan khabar mengenai 'Langkah London'.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, soal kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) masih belum dibincangkan.

Beliau juga enggan mengulas jika perkara berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Umno malam ini.

"Kalau saya kongsi dengan media bukan lagi strategi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 2:05 PM