SEBUAH tempat hiburan di Pulau Kecil, Pulau Perhentian diserbu polis kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam. FOTO Ihsan PDRM
SEBUAH tempat hiburan di Pulau Kecil, Pulau Perhentian diserbu polis kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Tidak serik malah sudah berulang kali dikenakan tindakan, malam tadi sebuah pusat hiburan di Pulau Perhentian di sini, diserbu sekali lagi.

Dalam serbuan Ops Noda kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah bar di Pulau Kecil itu, seorang penjaga pusat hiburan berusia 27 tahun ditahan kerana menjalankan perniagaan itu tanpa lesen,

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Besut susulan tular di media sosial pada 10 September berhubung isu pusat hiburan itu beroperasi sehingga awal pagi.

"Pihak polis menahan lelaki itu kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan dan lesen pusat hiburan ketika diminta berbuat demikian.

"Dalam operasi itu, kita turut merampas telefon bimbit, pembesar suara serta tempat letak pembesar suara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata, ketika serbuan terdapat kira-kira 20 pengunjung sedang leka berhibur.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

"Sebelum ini sudah beberapa kali lokasi hiburan itu diserbu namun kembali berulang dan pemantauan serta tindakan akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 7:24 PM