PENGUNJUNG melihat pertunjukan tanpa lesen sebelum diserbu polis di Pulau Perhentian. FOTO IHSAN POLIS
PENGUNJUNG melihat pertunjukan tanpa lesen sebelum diserbu polis di Pulau Perhentian. FOTO IHSAN POLIS
Nurul Fatihah Sulaini


KESERONOKAN pengunjung berhibur dan menonton pertunjukan api di sebuah bar di Pulau Perhentian, Jertih, malam tadi, terbantut selepas premis diserbu pihak berkuasa malam tadi.

Dalam serbuan Ops Noda kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah bar di Pasir Panjang, Pulau Kecil, dua lelaki berusia 22 dan 37 tahun ditahan kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Besut dan Balai Polis Pulau Perhentian selepas menerima maklumat awam dan hasil risikan.

“Ketika operasi dijalankan, polis menahan dua lelaki masing-masing berasal dari Kuala Besut dan Langkawi, Kedah kerana gagal mengemukakan lesen operasi pusat hiburan.

“Dalam operasi itu, kita merampas lima unit pembesar suara, komputer riba, mikrofon, wayar dan pelbagai peralatan hiburan lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, beberapa pengunjung sedang leka menikmati hiburan termasuk menyaksikan pertunjukan api di bar berkenaan.

Mohd Zamri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Enakmen Hiburan Terbuka 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 10:56 AM