POLIS menyerbu pusat hiburan di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis.
POLIS menyerbu pusat hiburan di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis menyerbu tiga pusat hiburan di daerah ini dan Penampang, disyaki beroperasi tanpa lesen sah serta melebihi had masa ditetapkan, dalam operasi pada awal pagi tadi dan semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim berkata, menerusi Op Noda itu pihaknya turut menahan sembilan individu dan merampas pelbagai peralatan termasuk pembesar suara.

Katanya, serbuan pertama di Pusat Dagangan Donggongon, Penampang yang mengesan premis beroperasi melebihi masa dan ketika itu terdapat 15 pelanggan termasuk empat wanita sedang berhibur.

"Kita menahan dua pekerja serta tiga pelanggan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah, selain pelbagai peralatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, serbuan berikutnya di kawasan sama juga mengesan pengoperasian pusat hiburan tanpa lesen yang sah, sebelum DJ dan juruwang warga tempatan ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, serbuan ketiga di KK Taipan Inanam yang dikesan beroperasi lebih masa dan dua pekerjanya ditahan bersama beberapa barangan di dalam premis.

"Bagaimanapun tiada kes penyalahgunaan dadah dikesan, dan hasil ujian saringan air kencing terhadap 24 pekerja dan 64 pelanggan menunjukkan negatif dadah.

"Semua suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Ordinan Hiburan Awam 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 6:38 PM