Antara yang ditahan dalam operasi yang dijalankan STAGG di Bandar Puteri, Puchong.
Antara yang ditahan dalam operasi yang dijalankan STAGG di Bandar Puteri, Puchong.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Tawar gadis bertuah (Ong). Itu antara tarikan disediakan sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, terhadap pengunjung yang mahu berjudi sambil ditemani wanita cantik.

Pelanggan yang menang ketika bertaruh turut berpeluang membawa pulang ‘gadis Ong’ itu ke rumah.

Kegiatan haram itu bagaimanapun terbongkar hasil serbuan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) diketuai Deputi Superintendan Hussin Mat Junus, jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dua pusat hiburan terletak di Jalan Kuchai Lama dan Bandar Puteri Puchong yang menyediakan khidmat pelacur diserbu serentak.

Menurutnya, dalam serbuan di Jalan Kuchai Lama, polis menahan 12 wanita Vietnam dan tiga wanita Indonesia berumur antara 19 hingga 35 tahun yang dijadikan ‘peneman’ pelanggan lelaki berjudi.

“Wanita warga asing yang dianggap membawa tuah itu akan menemani pelanggan berjudi di dalam sebuah bilik khas dengan kadar bayaran RM80 sejam.

“Selain itu, wanita ‘bertuah’ itu boleh dibawa pulang untuk hubungan seks pada bayaran tambahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya merampas wang tunai RM5,368, buku tip, lapan keping resit, resit jualan minuman keras dan pelbagai jenama botol minuman keras.

Katanya, penyelia premis gagal mengemukakan lesen perniagaan dan lesen minuman keras yang sah.

Dalam serbuan di Bandar Puteri Puchong pula, sembilan wanita Vietnam dan seorang wanita Thailand dan Laos ditahan ketika leka melayan pelanggan yang sedang minum dan berhibur.

Katanya, premis kedua itu mempunyai lesen perniagaan yang sah tetapi menawarkan GRO kepada pelanggan ketika berhibur.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1952, Seksyen 55(1)(d), Seksyen 6(1)(c) akta yang sama dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:32 AM