Penguat kuasa MPS menyerbu pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen malam tadi. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Penguat kuasa MPS menyerbu pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen malam tadi. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob


DUA pusat hiburan degil di Desa Aman Puri dan Taman Perindustrian KIP di Kepong yang menjalankan operasi tanpa lesen sejak beberapa tahun lalu didenda RM25,000 dalam serbuan Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam tadi.

Dalam serbuan yang turut disertai Timbalan Yang Dipertua MPS Datuk Dr Juhari Ahmad itu, peralatan milik pusat hiburan berkenaan turut dirampas.

Juhari berkata, dua pusat hiburan berkenaan sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu dan pada awalnya memiliki lesen sah untuk beroperasi.

Katanya, namun lesen perniagaan kedua-dua pusat hiburan berkenaan dibatalkan kerana melanggar beberapa syarat mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995 (EHTTH).

“Operasi bermula jam 9.30 malam itu membabitkan kira-kira 70 kakitangan MPS termasuk 40 pegawai penguat kuasa, MPS menyerbu dua pusat hiburan berkenaan yang memang terkenal dengan kedegilan untuk menghentikan operasi.

“Kedua-duanya pernah diserbu banyak kali oleh MPS sejak beberapa tahun lalu dan terbaru pada Sabtu minggu lalu serta dikenakan pelbagai tindakan termasuk denda mencecah RM25,000 selain barang disita.

“Namun, mereka tetap akan membuka semula operasi selepas beberapa hari diserbu serta tidak menghiraukan tindakan undang-undang dijalankan MPS,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan malam tadi.

Juhari berkata, dua pusat hiburan berkenaan memang menjadi tumpuan warga asing serta tempatan di sekitar kawasan berkenaan untuk berhibur.

Katanya, susulan keengganan pemilik pusat hiburan mematuhi undang-undang mengikut EHTTH 1995, pihaknya kini mengambil langkah merampas semua peralatan dalam premis berkenaan.

“Langkah merampas semua peralatan itu diambil bagi melumpuhkan operasi pusat hiburan berkenaan.

“Malah, pada malam tadi MPS terpaksa menggunakan empat lori bagi mengangkut barangan yang dirampas seperti kerusi, meja, sofa, set audio serta pembesar suara, televisyen, komputer riba dan meja snooker ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:06 PM