Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kira-kira 800 penduduk Orang Asli Pos Bihai sudah bersiap sedia menanam ubi kayu untuk dijadikan bekalan bagi menghadapi musim tengkujuh yang akan tiba tidak lama lagi.

Penduduk Pos Bihai, Mulian Alok berkata, persiapan yang dilakukan oleh mereka adalah sama setiap tahun dengan menanam ubi kayu lebih banyak daripada biasa sebelum memasuki musim tengkujuh.

"Tiada lagi persiapan yang boleh dilakukan oleh kami Orang Asli selain menanam pokok ubi kayu untuk bekalan musim tengkujuh.

"Kecuali jika duit bantuan daripada Kerajaan, seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diagihkan, dapatlah kami membeli bahan makan untuk dibuat bekalan musim tengkujuh" katanya ketika ditemui di Pos Bihai di sini, hari ini.

Menurut Mulian, kawasan penempatannya tidak dinaiki air, namun masalah jalan yang rosak dan tanah runtuh menyebabkan mereka terputus hubungan serta bekalan makanan.

"Kawasan kami selamat daripada dinaiki air, tetapi keadaan jalan yang rosak, dinaiki air dan tanah runtuh menyebabkan tiada kenderaan yang berani masuk untuk menghantar bekalan makanan.

"Kami sendiri, penduduk Orang Asli takut untuk keluar, bimbang akan keselamatan diri jika terperangkap di tengah hutan. Keadaan ini boleh membahayakan nyawa jika bertemu binatang buas," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya akan memastikan bekalan makanan bagi penduduk Orang Asli di situ diagihkan lebih awal.

"Kebiasaan menjelang musim tengkujuh, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan diaktifkan sekitar Oktober di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.

"Apabila banjir, masalah utama masyarakat Orang Asli di pedalaman ini adalah bekalan makanan kerana kebanyakan jalan akan dinaiki air. Jadi kami akan memastikan bekalan makanan dan PPS ini dibuka lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:29 PM
PENDUDUK Orang Asli di Pos Bihai kini sudah bersedia menghadapi tengkujuh dengan menanam awal pokok ubi kayu serta pisang di kawasan rumah masing-masing. FOTO Paya Linda Yahya
PENDUDUK Orang Asli di Pos Bihai kini sudah bersedia menghadapi tengkujuh dengan menanam awal pokok ubi kayu serta pisang di kawasan rumah masing-masing. FOTO Paya Linda Yahya