LANS Koperal (B) Nik Ismail Hamzah menunjukkan sijil penghargaan yang diterima sepanjang berkhidmat dalam ATM. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
LANS Koperal (B) Nik Ismail Hamzah menunjukkan sijil penghargaan yang diterima sepanjang berkhidmat dalam ATM. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Meskipun sudah 43 tahun berlalu, peristiwa menjejaki pengganas komunis sehingga hampir meragut nyawanya dan rakan ketika pertempuran masih segar dalam ingatan.

Lans Koperal (B) Nik Ismail Hamzah, 64, berkata, peristiwa itu berlaku pada 5 Jun 1979 ketika dia seramai tujuh anggota dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) terbabit dalam Operasi Indera dan diarahkan memburu pengganas komunis di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Katanya, sebelum memasuki kawasan bukit, satu platun terdiri daripada 28 anggota dipecahkan kepada tiga kumpulan dan pada ketika itu kekuatan kumpulannya hanyalah seramai tujuh anggota sahaja, namun dengan semangat juang yang tinggi mereka tetap meneruskan operasi untuk menjejaki pengganas komunis.

"Pada jam 2 pagi, saya bersama enam anggota mula berjalan sejauh tiga kilometer dalam keadaan gelap melalui kawasan pembalakan. Kami tiba di lokasi pada jam 6 pagi dan mula berbincang untuk mengatur gerak tempur bagi melawan pihak musuh.

"Bagaimanapun, selesai sarapan sekitar jam 7.15 pagi, saya melihat pokok yang berdekatan tiba-tiba bergoyang. Melihat keadaan itu saya memaklumkan kepada rakan iaitu Lans Koperal Azid Awang untuk bersiap sedia," katanya.

Menurutnya, tidak berapa lama kemudian, ternampak kelibat dua individu beruniform lengkap memegang senjata dan pengganas komunis yang diburu.

"Saya melepaskan tembakan pada jarak kurang 25 meter dan terkena pada bahagian dada salah seorang pengganas komunis itu. Rakannya yang cuba untuk mengalihkan mayat itu turut ditembak," katanya ketika ditemui di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong.

Tambah Nik Ismail, selepas dua pengganas komunis itu ditembak mati, lima lagi pengganas komunis menunggu di bawah bukit.

"Kami berbalas tembakan hampir 45 minit sebelum melemparkan bom ke arah mereka. Mereka (komunis) kemudian memberi satu tembakan jauh sebagai isyarat menghentikan pertempuran dan berlalu pergi dari kawasan itu.

"Kami berdiam diri selama 30 minit selepas berbalas tembakan dengan pengganas komunis disebabkan kepenatan dan selepas itu memeriksa keadaan dua mayat komunis yang ditembak mati," katanya.

Menurutnya, bagi membawa keluar mayat itu mereka cuba meminta bantuan helikopter namun gagal kerana cuaca berkabus dan sukar untuk mendarat.

"Bagaimanapun, tujuh anggota tambahan dihantar ke lokasi untuk bersama-sama membawa keluar mayat komunis dan diserahkan kepada polis.

"Ketika itu badan saya berlumuran darah mereka dan bau menusuk hidung. Selepas pulang daripada operasi saya terkena gangguan mistik atau badi mayat selama sebulan.

"Saya hilang selera makan kerana masih terhidu bau hanyir darah dan sepanjang tempoh itu hanya bergantung kepada air susu sahaja.

"Bagi mengubati diri, saya berjumpa individu yang pakar dalam bidang perubatan Islam dan Alhamdulillah ia semakin berkurangan.

"Operasi menjejaki atau memburu komunis di hutan adalah sukar dan bahaya kerana berhadapan dengan pelbagai situasi kerana ada yang ditembak oleh dan ada juga yang terpijak jerangkap samar.

"Walaupun tiada jaminan untuk kami pulang dalam keadaan selamat setiap kali menyertai operasi, kami tetap memilih untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

"Justeru itu, saya berharap generasi kini dapat menghayati perjuangan pasukan keselamatan terdahulu di atas nikmat kesenangan yang dirasai pada hari ini.

"Hidup pada era darurat bukan seperti hari ini yang jauh lebih senang dan dapat makan apa sahaja yang diingini," katanya yang bersara pada tahun 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:24 PM