Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Mas: Meskipun sudah 39 tahun berlalu, peristiwa menjejaki pengganas komunis sehingga hampir meragut nyawanya dan rakan ketika pertempuran masih segar dalam ingatan.

Pegawai Waran II (PW II) Bersara Tachmi Ismail, 64, berkata, ketika pertempuran menentang komunis di Sungai Teris, Raub, Pahang pada 1982, dia menganggotai Unit Risik Gempur (UCIS) Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk menjejaki pengganas komunis yang dalam perjalanan membawa bekalan makanan dan barangan ke kem mereka di hutan.

Beliau berkata, walaupun ketika itu baru jam 2.45 petang, suasana hutan Raub mula gelap dan dia bersama 17 anggota diarah menjejaki pengganas komunis di anak sungai di tengah hutan.

Menurutnya, operasi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan belantara itu hasil maklumat daripada pertempuran pertama Kompeni A, pasukan 18 RAMD yang memaklumkan kehadiran pengganas di kawasan Lembah Klau, Raub.

"Setelah dua hari menjejaki pengganas komunis, tiada apa berlaku kecuali saya merasakan seperti melihat bayangan manusia melintasi celah belukar berhampiran laluan dilalui dan menganggapnya mainan perasaan sahaja.

"Bagaimanapun apabila memasuki hari ketiga, ketua platun mengarahkan platun dibahagikan kepada tiga kumpulan dan saya mengetuai kumpulan kedua untuk menjejaki komunis.

"Tidak berapa lama selepas berpecah mengikut kumpulan, saya ternampak lembaga putih berada di sebelah kiri dan terkejut apabila mendapati ia adalah pengganas komunis yang sedang dijejaki," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tendong, di sini, hari ini.

Tachmi berkata, jarak antara mereka ketika itu hanyalah 30 meter dan pengganas komunis itu kemudiannya melepaskan tembakan ke arahnya dan tembakan itu tersasar.

Menurutnya, dia menembak pengganas komunis dan mengenai bahagian dadanya.

"Dalam keadaan terkulai dan nyawa-nyawa ikan, pengganas komunis itu cuba mengerah kudrat dan mencari perlindungan sambil terus melepaskan tembakan secara rambang.

"Pengganas dibunuh itu berada dalam senarai individu paling dikehendaki. Mayat pengganas komunis dibawa keluar dengan menggunakan bantuan helikopter," katanya.

Menurutnya, bagi membolehkan generasi masa kini mengecapi nikmat kemerdekaan, pasukan keselamatan dahulu terpaksa menggadai nyawa di dalam hutan menentang musuh negara.

Katanya, operasi di hutan waktu itu amat sukar dan bahaya, ada yang ditembak pengganas komunis dan ada yang terpijak jerangkap samar.

"Walaupun tiada jaminan untuk kami pulang dalam keadaan selamat setiap kali menyertai operasi, kami tetap memilih untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

"Malah, saya dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1 Jun 1983 dan Pisau Komando pada 17 Julai 1984 daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya yang bersara pada 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 1:47 PM
Pegawai Waran II (PW II) Bersara Tachmi Ismail menunjukkan Pisau Komando yang dianugerahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Julai 1984 atas keberaniannya membunuh pengganas komunis. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pegawai Waran II (PW II) Bersara Tachmi Ismail menunjukkan Pisau Komando yang dianugerahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Julai 1984 atas keberaniannya membunuh pengganas komunis. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI