SHEIKH Hussin menceritakan semula situasi cemas ketika Operasi Bukit Bahau bagi memburu sekumpulan anggota komunis.
SHEIKH Hussin menceritakan semula situasi cemas ketika Operasi Bukit Bahau bagi memburu sekumpulan anggota komunis.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pernah dikepung dalam Operasi Bukit Bahau untuk menjejaki serta menghapuskan gerakan komunis ketika era kekejaman gerakan berkenaan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Itu adalah peristiwa yang tidak mungkin dilupakan apabila terpaksa berlindung di sebalik pokok serta batu selepas diserang bertalu-talu oleh sekumpulan komunis ketika melaksanakan operasi berkenaan.

Peristiwa berbalas tembakan dengan pasukan komunis itu menjadi pengalaman berharga buat lelaki ini yang menabur bakti untuk pertiwi tanpa mengenal erti ketakutan.

Usaha bakti lelaki ini tidak perlu lagi dipersoalkan apabila sanggup menggadaikan nyawa hanya untuk melihat nusa ini bebas daripada sebarang ancaman serta merdeka mengikut acuan sendiri.

Koperal (B) Sheikh Hussin Sheikh Jaafar, 96, berkata, setiap memori ketika masih berkhidmat di dalam tentera kekal utuh dalam ingatan dan sentiasa menjadi pesanan kepada generasi akan datang.

Menceritakan semula peristiwa itu, Sheikh Hussin berkata, dia dan pasukannya ditugaskan untuk menjejaki komunis dan Operasi Bukit Bahau dilaksanakan untuk membanteras gerakan kumpulan militan itu.

"Ketika sampai di satu kawasan, pasukan kami terserempak dengan musuh (komunis) dan berbalas tembakan. Kami terpaksa duduk berlindung di sebalik pokok dan batu.

"Ketika itu, boleh kedengaran bunyi peluru melintasi kiri dan kanan, hanya tawakal kepada Tuhan saja selain mencari jalan untuk bangkit menyerang.

"Susah ingin diceritakan perasaan ketika itu, macam-macam perasaan timbul namun semangat saya datang apabila nampak rakan saya cedera ditembak, selepas itu umpama naik semangat kami untuk berjuang.

"Alhamdulillah, ketika peristiwa itu pasukan kami bangkit melawan tentera komunis dan akhirnya berjaya menahan dua anggota kumpulan berkenaan," katanya.

Atas sumbang baktinya, Sheikh Hussin menerima beberapa anugerah antaranya Pingat Perkhidmatan Am (PPA), Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) dan beberapa pingat lain.

Beliau menyertai Askar Melayu pada 11 Oktober 1948 ketika berusia 22 tahun dan berkhidmat selama tujuh tahun sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1 November 1955.

Sebelum memasuki perkhidmatan Askar Melayu, Sheikh Hussin adalah anggota tentera Force 136 dan pernah melalui detik-detik cemas bersembunyi di dalam sungai untuk mengelak dikesan askar Jepun.

Menurutnya, harga sebuah kemerdekaan ini besar dan mengharapkan bahawa generasi kini serta akan datang menghayati perjuangan generasi terdahulu.

"Kita membayar harga kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran ini dengan darah, perjuangan dan air mata. Saya harap kita dapat memenuhi makna kemerdekaan itu selain menghayatinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 1:00 PM