Mohd Hafizee Mohd Arop


TIGA individu termasuk seorang berjawatan penolong pengarah di Ibu Pejabat FELDA ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bagi kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh di FELDA Trolak Selatan, Sungkai.

Selain pegawai kanan FELDA itu, turut ditahan adalah seorang kontraktor dan eksekutif teknikal sebuah syarikat pengurusan hartanah yang dilantik oleh FELDA bagi memantau projek berkenaan.

Kontraktor dan eksekutif teknikal yang ditahan semalam sudah direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, manakala pegawai kanan FELDA yang ditahan hari ini akan direman esok.

Kontraktor dan eksekutif teknikal masing-masing berusia 48 dan 35 tahun yang memakai baju lokap SPRM dibawa ke mahkamah jam 11.30 pagi sebelum Majistret Nabihah Mohd Noor membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua mereka.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, pihaknya akan menahan seorang lagi individu iaitu Pegawai Kanan FELDA Trolak bagi membolehkan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2019.

Pegawai SPRM membawa dua suspek iaitu seorang kontraktor dan eksekutif teknikal sebuah syarikat pengurusan hartanah bagi permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. FOTO L Manimaran
Pegawai SPRM membawa dua suspek iaitu seorang kontraktor dan eksekutif teknikal sebuah syarikat pengurusan hartanah bagi permohonan reman di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. FOTO L Manimaran

Katanya, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja pembinaan dan bersubahat memperakukan kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka FELDA Trolak Selatan.

“Tuntutan palsu ini dibuat sedangkan kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tender bernilai RM137,900.

“Esok SPRM akan membuat permohonan reman terhadap dua lagi individu iaitu penolong pengarah FELDA dan pegawai kanan FELDA Trolak di Mahkamah Majistret Ipoh,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 4:00 PM