Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Seorang lagi pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis direman bagi membantu siasatan berhubung kes penerimaan suapan dianggarkan berjumlah RM88,000.

Penahanan suspek berusia 54 adalah susulan daripada penahanan dua lagi pembantu penguat kuasa JPJ Perlis pada Selasa lalu.

Sumber berkata, suspek direman sehingga 21 Mac kerana disyaki menerima rasuah daripada proksi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melanggar undang-undang.

Malah, suspek dipercayai menerima suapan dianggarkan sebanyak RM5,000 setiap bulan berdasarkan transaksi proksi berkenaan yang bermula dari 2018 dan 2019.

PEMBANTU penguatkuasa JPJ Perlis (bertopi putih) direman bagi membantu siasatan. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
PEMBANTU penguatkuasa JPJ Perlis (bertopi putih) direman bagi membantu siasatan. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Perintah reman selama tiga hari itu dikeluarkan oleh Majistret Kamaliza Md Zain di Mahkamah Kangar, selepas suspek dibawa ke mahkamah itu pagi ini.

Terdahulu, suspek ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis pada 5.40 petang semalam menerusi Op Sukat SPRM selepas dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

Sementara itu, perintah reman terhadap dua pembantu penguat kuasa JPJ Perlis yang berakhir hari ini disambung sehingga Ahad.

Sehingga kini, empat individu termasuk seorang orang awam ditahan bagi membantu siasatan berkenaan kes berkenaan di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 11:25 AM