Azam Baki ketika sidang media Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Azam Baki ketika sidang media Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuat keputusan sama ada untuk memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang dikaitkan dengan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia berikutan siasatan masih banyak perkara yang perlu disiasat membabitkan kes berkenaan.

"Saya ingin semua memahami bahawa perkara berkaitan dengan tadbir urus dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza.

"Atas sebab itu bila ada pihak mengemukakan isu di pihak media berkaitan tadbir urus mungkin diambil daripada laporan audit.

"Namun, pihak kami bukan menyiasat perkara itu sahaja sebaliknya membuat siasatan lanjut untuk melihat unsur jenayah yang dilakukan oleh mana-mana pihak," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvokesyen Program Pentauliahan Penguatkuasaan Undang-undang SPRM pertama 2022, di sini, hari ini.

Justeru, Azam berkata, pegawai penyiasat SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan berkenaan seperti memanggil saksi termasuk dari luar negara.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, sebelum ini mengaitkan Abdul Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh didakwa isteri keduanya turut terbabit dalam penyelewengan projek LCS.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, kertas siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kini berada dengan suruhanjaya itu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta siasatan lanjut dilakukan.

Beliau berkata, kertas siasatan itu sebelum ini pernah dihantar kepada AGC, namun dipulangkan semula untuk siasatan lanjut.

"Mungkin jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Peguam Negara adalah ringkas. Mungkin bermaksud tidak ada lagi di tangan beliau.

"Namun, sebenarnya kertas siasatan sudah dikemukakan kepada beliau dan diberi kepada kita balik dan (dihantar) kepada beliau balik dan kepada kami untuk tindakan lanjut," katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata, kertas siasatan kes membabitkan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Mengakui kertas siasatan itu sudah beberapa kali dihantar dan dikembalikan semula, Azam berkata, ia adalah proses normal membabitkan kertas siasatan. Beliau berkata, apabila pihaknya merasakan siasatan sudah lengkap, kertas siasatan diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut.

"Ketika ini kertas siasatan berada dengan pegawai saya dan (tindakan selanjutnya) akan ditentukan dalam satu masa kelak atas arahan Peguam Negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 2:58 PM