WAN Junaidi pada sidang media pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (JPM) hari ini. FOTO Bernama.
WAN Junaidi pada sidang media pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (JPM) hari ini. FOTO Bernama.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Jemaah Menteri hari ini secara prinsip bersetuju supaya laporan audit dan forensik berkaitan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), didedahkan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan dibuat selepas perbincangan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan pihak berkaitan membabitkan mekanisme pendedahan berkenaan.

Katanya, beliau berpendapat, ada beberapa perkara sensitif membabitkan keselamatan tidak seharusnya didedahkan kepada umum.

"Secara prinsip Jemaah Menteri masih menekankan pendedahan itu bakal dibuat.

"Saya berpendirian, benda sensitif soal keselamatan sepatutnya memang tidak boleh didedahkan.

"Di mana-mana (negara) demokrasi pun, sama ada di Amerika Syarikat, di England, bahkan di Perancis, dia tidak akan dedahkan benda yang sangat sensitif," katanya pada sidang media selepas Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di pejabatnya, hari ini.

Wan Junaidi berkata, ia seperti amalan di England, apabila sesuatu dokumen mahu dinyahklasifikasi, pihak terbabit akan membincangkan perkara sensitif berkaitan keselamatan mungkin diasingkan, manakala perkara lain akan didedahkan.

Pada masa sama, Wan Junaidi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga sudah menyatakan Kerajaan tidak menolak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS.

Beliau berkata, biarpun Kerajaan beranggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat yang terbaik, cadangan untuk mengadakan RCI tidak ditolak.

Berhubung siasatan dijalankan SPRM, Wan Junaidi berkata, kertas siasatan lain membabitkan kes LCS masih perlu dikemaskini oleh penyiasat sebelum dikembalikan semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk membolehkan individu lain mungkin didakwa.

Katanya, ia berikutan beberapa persoalan yang perlu dijawab membabitkan kertas siasatan berkenaan.

"Bagaimanapun, tadi ada dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

"Keputusan Kabinet (berhubung siasatan berkenaan) adalah terbuka (open ended) dan Kabinet menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan melindungi sesiapa pun," katanya.

Minggu lalu media melaporkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan kerajaan untuk menyahklasifikasikan dua laporan berkaitan isu LCS secara menyeluruh.

Pengerusinya, Wong Kah Woh, dilaporkan berkata, jawatankuasa itu tetap menyambut baik keputusan Kabinet pada 10 Ogos, yang menerima pakai dua syor PAC yang paling penting dalam laporan perolehan kapal LCS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 3:29 PM