Muhammad Apendy Issahak


LIMA dipercayai sekeluarga disahkan rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora di Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi dikatakan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata buat masa ini identiti semua mangsa masih belum diperoleh susulan rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler bersama muatan biji besi (amang) dengan sebuah kereta yang nombor pendaftarannya tidak dapat dipastikan (terbakar).

“Kenderaan berat dan kereta itu dipercayai dari arah selatan menghala ke utara dan sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan sebelum menghimpit dan menggesel beberapa kenderaan lain termasuk kereta yang terbakar itu.

“Kereta dinaiki mangsa diseret di lorong kanan menyebabkan terhimpit antara pembahagi jalan konkrit di tengah laluan dengan badan treler sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu pemandu dan semua penumpang kereta berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan setakat ini, disahkan lima maut terbakar di tempat kejadian.

Katanya, pemandu treler berusia 41 tahun tidak cedera dan maklumat lanjut mengenai semua mangsa akan diberikan kemudian.

“Usaha mengenalpasti jenis kereta terbakar itu sedang dijalankan dan siasatan lanjut kini dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar, berkata kerja mengalihkan treler berkenaan dilakukan dan pemeriksaan pihaknya mendapati seramai lima mangsa ditemui rentung dalam kereta berkenaan.

“Semua mangsa dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kami kemudian melakukan kerja mengalihkan sepenuhnya treler berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Dua dipercayai rentung [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 7:14 PM
LIMA mayat termasuk bayi ditemui rentung akibat terperangkap dalam kereta yang terbakar berjaya dikeluarkan anggota bomba dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
LIMA mayat termasuk bayi ditemui rentung akibat terperangkap dalam kereta yang terbakar berjaya dikeluarkan anggota bomba dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.