LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mahu supaya semua pihak yang membuat tuntutan palsu berkaitan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyokong penuh siasatan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya itu, yang membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan melalui 'Ops Hire', serta menyifatkan ops itu yang dilaksanakan sejak 13 Julai sebagai 'aktiviti yang perlu dilaksanakan'.

"KSM tidak akan berkompromi sama sekali, memandangkan terdapat pihak yang telah mengambil kesempatan ke atas inisiatif kerajaan dengan melaksanakan penyelewengan dana dan tuntutan palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi 'Ops Hire' yang dilancarkan di seluruh negara bermula 13 Julai, seramai 37 individu dilaporkan telah ditahan reman sehingga semalam bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya.

Saravanan berkata, dana PenjanaKerjaya yang disalurkan kepada majikan adalah sebagai suatu inisiatif kerajaan semasa pandemik Covid-19 bertujuan membantu majikan menggajikan pekerja yang menganggur dan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Menurutnya, jumlah bayaran yang telah dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion, membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan.

Beliau berkata, mana-mana majikan dan penyedia latihan yang sudah membuat salah laku dalam permohonan PenjanaKerjaya digesa tampil ke Perkeso dan membuat bayaran balik insentif itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang lebih keras pada masa akan datang.

Saravanan dalam pada itu berkata, Perkeso juga telah menggantung bayaran PenjanaKerjaya sebanyak RM423 juta berdasarkan penganalisaan data dan pemantauan pengoperasian PenjanaKerjaya secara berterusan.

"Saya menyeru kepada para majikan dan penyedia latihan agar tidak sama sekali membuat salah laku atau tuntutan palsu kerana sumber kewangan yang disalurkan telah diagihkan untuk tujuan menyokong usaha-usaha penting kerajaan demi memperkasakan pasaran buruh di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:40 PM