KETUA Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat. FOTO NSTP.
KETUA Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat. FOTO NSTP.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dalam tempoh enam hari, sejumlah RM2.2 juta kerugian yang ditanggung mangsa kes penipuan 'phone scam' dan pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bermula tempoh 17 Ogos, 35 kertas siasatan dibuka iaitu 22 bagi phone scam yang membabitkan kerugian RM1.438 juta dan bakinya, pelaburan tidak wujud.

"Kebanyakan mangsa phone scam mengalami kerugian antara RM2,000 hingga RM284,831. Mangsa berumur antara 40 hingga 60 tahun daripada pelbagai kategori pekerjaan.

"Tiga mangsa daripada kes phone scam mencatat kerugian melebihi RM200,000, menerusi penyamaran (suspek) sebagai pihak polis dan pegawai bank," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, bagi 13 kes pelaburan tidak wujud pula, kerugian direkod setiap mangsa antara RM2,260 hingga RM275,141, dengan nilai keseluruhan RM808,564.

Beliau berkata, mangsa berusia 35 hingga 80 tahun dengan dua kes mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan iklan di Facebook (FB).

"Suspek menggunakan FB dan Telegram untuk mempromosikan pelaburan dengan janji pulangan lumayan, malah sindiket juga berkongsi testimoni pelaburan yang berjaya dengan pulangan tinggi untuk menarik mangsa.

"Mangsa pula hanya menyedari ditipu setelah mereka tidak menerima sebarang pulangan dan dikeluarkan daripada group pelaburan itu," katanya.

Beliau berkata, kes penipuan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan menasihati orang ramai agar lebih berwaspada dan sentiasa mendapatkan info sahih berkaitan modus operandi sindiket penipuan di laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

"Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi Nasional Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi menyekat pengaliran keluar wang ke akaun suspek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 8:31 PM