Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis menahan 14 individu dipercayai ahli sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian, menerusi serbuan di dua rumah teres di Taman Mount Austin di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 31 tahun itu terdiri daripada 10 lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan tiga wanita tempatan.

Katanya, sindiket menyasarkan mangsa dari luar negara terutama Singapura, dengan menawarkan jawatan sebagai ejen pelancongan menerusi iklan di media sosial dan dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.

"Ejen ini bertugas untuk menempah bilik hotel secara dalam talian dan kemudian menerima komisyen sehingga 6SGD (RM20.04) bagi sebuah bilik.

"Namun apabila tempahan sudah banyak, mereka diminta untuk menambah nilai bagi membolehkan tempahan seterusnya dibuat.

"Ia menyebabkan kerugian kepada mangsa sehingga mencecah ribuan ringgit. Namun kerugian sebenar masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas 20 unit komputer riba, 32 telefon bimbit dan satu unit papan putih.

Katanya, sindiket itu menggunakan talian telefon yang didaftarkan di luar negaray, manakala ahli sindiket bertindak sebagai pegawai sumber manusia yang ditawar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000.

"Namun mereka hanya sempat menerima sebulan gaji sahaja. Polis Johor bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura bagi mendapatkan maklumat lanjut, selain mengesan saki baki anggota sindiket penipuan ini.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang tawaran kerja yang menjanjikan komisen lumayan dalam masa singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 6:34 PM