ANGGOTA polis menahan lelaki Nigeria di dua pangsapuri di Taman Sentosa.
ANGGOTA polis menahan lelaki Nigeria di dua pangsapuri di Taman Sentosa.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Sekumpulan sindiket penipuan warga Afrika dikesan menipu seorang wanita tempatan kononnya mahu menjual ubat ajaib yang berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Malah sindiket dianggotai tujuh lelaki Nigeria dan dua wanita Thailand dan Filipina turut menawarkan kiriman barangan berharga kononnya berisi komputer riba, telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai mencecah ratusan ribu ringgit kepada mangsa.

Terbaru, polis berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan kiriman barangan yang didalangi lelaki Nigeria yang dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, semua tujuh lelaki dan dua wanita berusia 27 dan 44 tahun itu ditahan polis awal pagi semalam.

Beliau berkata, tangkapan dibuat di dua pangsapuri di Taman Sentosa di sini, yang dijadikan markas kegiatan sindiket itu kira-kira jam 1 pagi semalam.

Menurutnya, polis turut merampas tujuh komputer riba, tablet (1), telefon bimbit (13), visa pelbagai nama (21), buku (6), pemacu cakera keras (1) dan sebuah beg yang mengandungi pelbagai dokumen.

“Tangkapan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima laporan polis berhubung penipuan dilakukan suspek terhadap dua mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM21,250.

“Mangsa pertama berusia 41 tahun dan bekerja di sebuah agensi pelancongan. Dia kerugian RM20,000 selepas terpedaya dengan janji suspek yang menggunakan nama Patrick Anthony dan dikenali melalui laman sosialFacebook (FB),” katanya.

Menurutnya, suspek berjanji untuk menghantar komputer riba, cincin dan rantai emas, telefon bimbit, kasut dan wang tunai berjumlah RM305,000 kepada mangsa.

“Namun suspek memaklumkan mangsa perlu membayar RM20,000 untuk cukai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Selepas membuat bayaran, mangsa mula curiga dan menyedari ditipu selepas mendapatkan maklumat dari pihak kastam KLIA,” katanya.

Dia berkata, mangsa kedua seorang wanita berusia 51 tahun yang bekerja sebagai ahli perniagaan menerima kiriman SMS daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Tenbo Zuzulu.

“Suspek mendakwa menjual ubat istimewa untuk menyembuhkan penyakit berharga RM1,250.

“Mangsa turut diperdaya sejurus memasukkan wang ke akaun bank. Barang dijanjikan bagaimanapun tidak diterima,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki Nigeria yang ditahan itu memasuki negara ini sebagai pelajar dan dua wanita yang ditahan dipercayai teman wanita suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan semua suspek direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut bagi mengesan kes lain yang mempunyai kaitan dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:17 AM