Gambar hiasan
Gambar hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang peniaga menjadi mangsa terbaru sindiket penipuan Macau apabila mendakwa ditipu individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mangsa wanita berusia 50 tahun itu mendakwa sindiket terbabit menghubunginya pertengahan Mei lalu dan memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai atas nama syarikat miliknya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa terpedaya dengan kata-kata suspek dan bertindak mengikut arahan suspek dengan membuat 23 transaksi melalui mesin deposit tunai berjumlah RM900,000 ke dalam 16 akaun bank berbeza.

"Mangsa juga menyerahkan akses perbankan dalam talian akaun berkenaan kepada suspek.

"Semalam, ketika membuat semakan akaun bank miliknya yang mana butiran perbankan berkenaan pernah diberikan kepada suspek, dia mendapati terdapat tujuh transaksi pindahan wang berjumlah RM122,300.

"Wang itu dipindahkan tanpa pengetahuannya kepada beberapa pihak yang tidak dikenali," katanya.

Kamarul Zaman berkata, mangsa syak dirinya ditipu dan membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah sebanyak RM1,022,300.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan juga akan dibuat untuk melihat pembabitan keldai akaun, sekiranya wujud dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit.

"Kita ingin menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan melalui telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

"Gunakan perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) iaitu CCID Scam Response Centre, CCID Infoline, Semak MULE dan Facebook JSJK PDRM bagi mendapatkan sebarang maklumat berkenaan jenayah komersial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 3:06 PM