Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Akibat kesempitan hidup, tiga beradik di Kampung Sedek, Sungai Durian, di sini, hidup dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa di rumah uzur yang didiami mereka sejak lebih 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, rumah usang sempit berdindingkan kayu dan papan lantai yang sudah reput itu menjadi tempat berteduh bagi tiga beradik berkenaan yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam.

Ramli Razali, 30, berkata, rumah yang didiami bersama kakak serta adiknya, Fauziah, 36, dan Mohd Sarudin, 29, tidak ada kemudahan bilik air menyebabkan mereka terpaksa mandi di kawasan luar rumah selain hanya mempunyai satu bilik dan pintu tandas yang ditutup menggunakan zink.

Katanya, kehidupan mereka serba daif dengan dia hanya bekerja kampung dan upah yang diperoleh RM30 sehari bergantung kepada kerja yang diperoleh manakala adiknya, Mohd Sarudin pula bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM350 sebulan dan ia hanya cukup-cukup makan selain untuk membayar bil elektrik dan air.

"Selepas arwah ibu dan ayah meninggal dunia, kami enam beradik masing-masing menjalani kehidupan sendiri dan tiga lagi adik-beradik sudah berkahwin dan mempunyai keluarga malah bukan dalam kalangan orang senang.

"Dengan pendapatan yang tidak menentu, sememangnya saya tidak mampu untuk membaiki kerosakan rumah ini, makan pun kadangkala terpaksa dicatu, apatah lagi untuk membaikinya. Ada ketikanya kami hanya makan nasi kosong bersama telur atau budu bagi menggalas perut.

"Meskipun sedar tidak selamat untuk kami terus menetap di rumah ini, namun saya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mengeluarkan modal bagi membaiki rumah ini," katanya ketika ditemui di Kampung Sedek, Sungai Durian, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan turut menyampaikan barangan keperluan asas untuk meringankan beban mereka.

Ramli berkata, untuk membaiki rumah, memang mereka tidak mampu dan amat berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu.

"Saya bimbang kerana struktur rumah ini tidak lagi kukuh disebabkan tiang kayu dan lantai banyak dimakan anai-anai," katanya.

Sementara itu, Che Norhayati berkata, dia akan cuba mencari dana untuk baik pulih rumah itu bagi memberi keselesaan kepada tiga beradik berkenaan.

"Kerja baik pulih ini akan dibuat secepat mungkin kerana kami bimbangkan keadaan mereka disebabkan rumah ini terlalu uzur serta banyak papan lantai dan dinding yang sudah reput," katanya.

Che Norhayati berkata, sesiapa yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubunginya di talian 01125466362.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 11:12 AM
Ramli bersama kakaknya yang masing-masing orang kurang upaya (OKU) lembam tinggal dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa di rumah uzur yang didiami mereka sejak lebih 10 tahun lalu ketika ditemui di Kampung Sedek, Sungai Durian. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Ramli bersama kakaknya yang masing-masing orang kurang upaya (OKU) lembam tinggal dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa di rumah uzur yang didiami mereka sejak lebih 10 tahun lalu ketika ditemui di Kampung Sedek, Sungai Durian. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI