MAZIRAWATIE menunjukkan lantai rumahnya yang reput dimakan anai-anai dan mudah terjelus jika dipijak. FOTO RAMLI IBRAHIM.
MAZIRAWATIE menunjukkan lantai rumahnya yang reput dimakan anai-anai dan mudah terjelus jika dipijak. FOTO RAMLI IBRAHIM.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Sudah empat tahun kami empat beranak sambut 1 Syawal dalam keadaan tidak boleh bergerak bebas atas rumah kerana lantai papan reput dimakan anai-anai," kata Mazirawatie Yahya.

Malah, Mazirawatie, 31, yang tinggal di rumah pusaka neneknya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, dekat sini, tidak membenarkan ahli keluarga berkumpul di rumahnya kerana bimbang ia runtuh.

Katanya, rumahnya kini dalam keadaan senget kerana tiang kayu reput dan tidak mampu membaikinya berikutan pendapatan suami hanya dengan mengambil upah menebas ladang.

"Pendapatan suami sekitar RM600 sebulan hanya sekadar cukup untuk belanja makan kami sekeluarga sahaja dan setakat ini belum menerima sebarang bantuan untuk membaiki rumah.

"Paling menyeksakan apabila hujan kerana atap bocor hingga kami sekeluarga terpaksa mencari tempat selamat untuk tidur," katanya.

Mazirawatie berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan ketika ini, orang ramai tidak dibenarkan berkumpul.

Katanya, situasi itu memberi sedikit kelegaan kerana dia risau kehadiran ahli keluarga serta jiran ke rumahnya yang tidak selamat diduduki.

"Rumah ini dibina lebih 40 tahun lalu dan tidak mempunyai bilik tidur, jadi ia hanya ditutup dengan kain.

"Jadi saya merayu pihak berkenaan supaya dapat membantu kami membaiki rumah secepat mungkin sebelum ia runtuh," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Ariffin berkata, pihaknya turun padang melihat rumah uzur itu dan akan mendapatkan bantuan untuk membaikinya secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:05 PM