Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang 'runner' insurans menggunakan sebilah parang pada Ahad lalu.

Tertuduh, Ong Eng Hock, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ong didakwa menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja terhadap mangsa yang berusia 19 tahun di Jalan Masjid Negeri, pada 1.10 pagi pada 14 Ogos lalu menggunakan parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan secara salah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Eng Hock dituduh di Mahkamah Sesyen, Georgetown hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang runner insurans. FOTO MIKAIL ONG
Eng Hock dituduh di Mahkamah Sesyen, Georgetown hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang runner insurans. FOTO MIKAIL ONG

Tertuduh yang masih bujang tidak ditawarkan jaminan namun dia memohon diikat jamin kerana dia merupakan satu-satunya anak yang boleh diharap untuk menguruskan ibu bapanya yang perlu menjalani rawatan dialisis buah pinggang.

Hakim Mohammad Khalid kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta dikenakan syarat tambahan melarang tertuduh daripada mengganggu mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 22 September ini sebagai sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 3:06 PM