Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Seorang tukang paip mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Chan Ping Khoon, 32, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 38 tahun pada 24 Disember tahun lalu jam 7.22 malam.

Difahamkan kesalahan dilakukan di sebuah premis yang membekalkan produk penapis air dan perkhidmatan pemasangan pam air tekanan tinggi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

PING Khoon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan cubaan membunuh seorang wanita. FOTO Mikail Ong
PING Khoon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan cubaan membunuh seorang wanita. FOTO Mikail Ong

Terdahulu Ping Khoon yang berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan meminta agar dibenarkan jaminan kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan anak selain perlu membantu menguruskan ibu bapa yang sudah uzur.

Bagaimanapun pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor tahap keseriusan jenayah.

Mazdi berkata, dalam kes membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan ikat jamin tidak dibenarkan dan beliau mengarahkan tertuduh melantik peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa.

Media pada 30 Disember lalu melaporkan seorang wanita cedera parah dipercayai diserang seorang lelaki dalam kejadian samun di Jelutong pada 24 Disember lalu.

Mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang itu dilaporkan tidak sedarkan diri selepas kejadian itu akibat mengalami kecederaan pada muka dan mata kerana dipukul senjata tumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 12:04 PM