AINUL Mardhiah. FOTO Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
AINUL Mardhiah. FOTO Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ainul Mardhiah, kanak-kanak yang pernah menghidap barah mulut, dilaporkan sudah sedar dan tidak lagi bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Perkembangan positif Ainul, 4, dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 27, menerusi hantaran di Facebook (Fb), hari ini.

Menurut Ahmad Safiuddin, dia menerima perkhabaran itu daripada Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) yang menghubunginya.

"PICU baru call (telefon), katanya hari ini dah boleh jaga Ainul semula sebab Ainul dah guna oksigen biasa, ventilator sudah off (tutup).

"Ubat tidur dan tahan sakit dia pun sudah off. Ainul sudah sedar," tulisnya.

Perkongsian berkenaan turut memberi kegembiraan kepada pengikut Ahmad Safiuddin yang sentiasa mengikuti perkembangan dan menitipkan doa buat Ainul Mardhiah.

"Syukur Alhamdulillah, jangan pernah berhenti berdoa minta rahmat dan kasih sayang Allah. InsyaAllah moga semuanya baik," tulis seorang pengguna Fb dikenali Khairul Ahmad Fitri Suhaimi.

"Alhamdulillah. Syukur ya Allah atas khabar gembira ini. Mudah-mudahan tiada lagi berita sedih tentang ainul selepas ini. Amin," tulis seorang lagi pengguna Fb dikenali Rosnah Atan.

Menerusi hantaran terdahulu, Ahmad Safiuddin berkongsi mengenai Ainul Mardhiah yang menyambut ulang tahun kelahiran hari ini selepas dilahirkan pada 2018 jam 3.15 petang.

"Ainul Mardhiah, lahir lahir terus berjuang sehingga detik ini," katanya.

Semalam, Ahmad Safiuddin menerusi hantaran di Fb turut memaklumkan doktor mengesyaki ada virus dan kuman otak anak sulungnya hingga mengalami sawan yang luar biasa.

Pada 1 Ogos lalu, ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 27, berkongsi Ainul Mardhiah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal menerusi platform Instagram (IG) miliknya

Sejak itu, Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani terus berkongsi perkembangan Ainul Mardhiah di laman sosial untuk makluman rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan anak mereka.

Menurut rekod, Ainul Mardhiah pernah menjalani pembedahan di London, United Kingdom (UK) bagi membuang tumor seberat 200 gram pada 2019 dengan bantuan pelatih pakar bedah warga Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:58 PM