Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tetap akan menerima sebarang sumbangan daripada orang bukan Islam bagi tujuan manfaat kepada umat Islam di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata, sebarang bentuk bayaran yang dilakukan daripada orang bukan Islam tidak boleh dianggap sebagai zakat berikutan ia hanya dituntut daripada orang Islam sahaja.

"Apabila ia disebut sebagai tuntutan berzakat, maka ada syarat-syaratnya iaitu mesti seorang Islam sama ada lelaki atau perempuan untuk zakat fitrah serta mempunyai harta bagi zakat harta.

"Bagi kita di LZNK, orang bukan Islam yang mahu menyumbang berkemungkinan besar dia percaya bahawa kita agensi yang menerima sumbangan dan mengagihkan setiap sumbangan kepada fakir dan miskin," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang lelaki dipercayai bukan Islam menyumbang untuk zakat fitrah dan zakat harta sejak 10 tahun lalu kepada LZNK.

Kisah mengenai Chandramogan Jasingo, 40, yang berasal dari Kuala Ketil, Baling tular selepas memuat naik resit pembayaran zakat fitrah pada 2 Ramadan di akaun Facebooknya diiringi kapsyen yang menyentuh hati ramai netizen.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihaknya mengakui menerima satu sumbangan daripada penama terbabit namun pihaknya akan menyemak terlebih dahulu sama ada individu itu Muslim atau tidak.

Katanya, beliau yakin semua orang yang berada di muka bumi ini mempunyai naluri dan percaya bahawa menyumbang adalah kaedah terbaik untuk membantu orang lain.

"Dia mungkin memilih LZNK kerana percaya dengan sistem kita mengagihkan setiap sumbangan dan zakat orang Islam.

"Kita tak anggap itu sebagai zakat dan ia adalah sumbangan, orang bukan Islam yang menyumbang kepada orang Islam adalah tidak salah di sisi agama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya kini dalam proses menilai kerosakan dan jenis bantuan yang akan diberikan kepada penghuni lima buah rumah di pusat pengajian Pondok Fauzi berhampiran Kampung Sungai Udang, Yan yang musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Katanya, LZNK akan mengambil tanggungjawab untuk membantu mereka terutama sekiranya mereka daripada keluarga asnaf.

"Bagaimanapun, bantuan yang diberikan akan diselaraskan dengan Pejabat Daerah Yan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 2:24 PM