Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tujuh maut dalam bencana banjir, manakala seorang mangsa masih lagi hilang sejak Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, daripada jumlah itu, tiga mangsa ditemukan lemas, manakala seorang mangsa ditemukan meninggal dunia di ruang atas rumah di Taman Seri Muda yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, dua lagi kes lemas berlaku di Dengkil, Sepang, satu kes di Desa Coalfields, Kuala Selangor dan seorang mangsa dipercayai hilang di Sungai Pinang.

"Bagi kawasan Taman Seri Muda ini, bomba menemui mangsa pertama pada Sabtu, dua mangsa ditemukan semalam.

"Seorang mangsa ditemukan di rumah hari ini adalah seorang wanita berumur 40 tahun dipercayai warga Indonesia" katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana Bomba Seri Muda, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Selain empat mayat di Taman Seri Muda katanya, bomba turut menemui dua mangsa dipercayai lemas di Dengkil.

"Ini adalah dua kes berasingan hari ini dan identiti belum dikenal pasti.

"Seorang mayat pemandu treler ditemui di Desa Coalfields.

"Seorang lelaki dilaporkan hilang di Sungai Pinang, Klang semalam dipercayai terjatuh ke dalam parit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 3:00 PM