Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid menyampaikan sijil APC 2021 kepada pegawai dan anggota JBPM Kelantan, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid menyampaikan sijil APC 2021 kepada pegawai dan anggota JBPM Kelantan, di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) bakal diwujudkan di Gunung Stong, Jeli dan Gunung Tahan, Pahang selepas kejayaan mewujudkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) di Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ahli Mocsar terdiri daripada malim gunung setakat ini hanya ada di Gunung Kinabalu, Sabah yang bertugas sebagai penunjuk arah kepada pendaki termasuk membantu operasi menyelamat.

Menurutnya, pasukan Mocsar dilihat sangat diperlukan di dua lokasi pendakian itu kerana ia menjadi tarikan orang ramai sekali gus memerlukan malim gunung berpengetahuan bukan sahaja sebagai penunjuk arah tapi juga mahir dalam tugas menyelamat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Setakat ini kita mempunyai seramai 35 malim gunung yang menerima latihan dari pasukan bomba dan kini mereka menjadi ahli pasukan Mocsar yang berkhidmat di Gunung Kinabalu.

"Penubuhan Mocsar dilihat sangat berjaya kerana anggota bomba sebenar bukan pakar dalam pendakian, sebaliknya kepakaran itu terletak pada malim gunung yang juga komuniti setempat.

"Kaedah ini akan dilaksanakan di Gunung Stong dan Gunung Tahan (Pahang), kita sedang lihat kesesuaian penubuhannya kerana kawasan itu ramai pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 dan sijil Perkhidmatan 30 tahun pegawai dan anggota JBPM Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Mohammad Hamdan berkata, selain Mocsar, pasukan Safety Water and Rescue Team (SWART) juga dilihat sangat berjaya dengan mengambil model Terengganu dan Kelantan sebagai penanda aras diikuti Sarawak membabitkan Kuching, Miri dan Kota Samarahan.

Menurutnya, ahli SWART ditempatkan di kawasan badan air iaitu pantai, sungai, tali air, kolam, jeram serta air terjun dan ia juga dianggotai komuniti setempat yang tinggal berhampiran lokasi riadah itu.

"Kita lantik komuniti setempat ini sebagai ahli pasukan dan diberi kemudahan termasuk uniform, pakaian perlindungan diri, peralatan asas untuk menyelamat dan latihan di samping menerima elaun RM8 sejam.

"Fungsi mereka adalah membantu pasukan bomba di kawasan badan air terutama tepi pantai yang selalunya diadakan aktiviti rekreasi dan berkelah.

"Jika membabitkan kejadian lemas, mereka akan jadi 'first responder' peringkat awal kerana mereka lebih tahu mengenai topografi dan geografi sesuatu lokasi sekali gus mengenal pasti mana-mana tempat yang berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 4:21 PM