Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengkaji cadangan bagi menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) di kawasan berisiko tinggi di Cameron Highlands.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kajian sama akan dikembangkan di Kelantan dan Pahang.

"Kita memang ada balai bomba dan penyelamat di Cameron Highlands, tetapi pada masa yang sama kita juga melihat kawasan terpencil yang memerlukan orang tempatan untuk membantu kita.

"Insya-Allah, kita memang sedang mengkaji kawasan Cameron Highlands di sini, Kuala Tahan, Pahang, Gunung Trong Kelantan untuk penubuhan Mocsar," katanya.

Keadaan tanah runtuh di beberapa kawasan sepanjang Jalan Tapah - Cameron-Highlands berikutan hujan lebat melanda pada petang semalam ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Keadaan tanah runtuh di beberapa kawasan sepanjang Jalan Tapah - Cameron-Highlands berikutan hujan lebat melanda pada petang semalam ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 100 penerima pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Negeri Perak Bersama Akademi Bomba dan Penyelamat (FRAM) Wilayah Utara di Hotel Casuarina Meru di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kekerapan kejadian tanah runtuh termasuk yang terbaharu, di Cameron Highlands petang semalam.

Mohammad Hamdan berkata, seperti mana pasukan Mocsar yang pernah ditubuhkan di Gunung Kota Kinabalu, Sabah sebelum ini, pihaknya akan turut melantik orang tempatan sebagai anggota bomba bantuan.

"Apabila berlaku kecemasan, mereka akan menjadi responder awal untuk bertindak dahulu sambil menghubungi bomba.

"Mereka ini akan diberi latihan serta peralatan selain dibekalkan dengan PPE dan sebagainya, itulah konsepnya," katanya.

Semalam, media melaporkan, seorang lelaki cedera manakala tiga rakannya terselamat selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang akibat tanah runtuh di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang.

Kejadian itu menyebabkan mangsa yang penumpang kenderaan itu mengalami pendarahan hidung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:05 PM