Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


Kuala Krai: Sejak kembali beroperasi lebih sebulan lalu, Taman Negeri Gunung Stong menerima pengunjung bertali arus dan permintaan untuk menjalankan aktiviti meningkat secara mendadak.

Atas kemeriahan luar jangkaan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mengadakan program pemuliharaan laluan dengan memilih laluan pendakian dari kaki gunung ke Kem Baha sebagai destinasi pertama.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, seramai 120 peserta terdiri daripada kakitangannya, malim gunung dan wakil pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kelantan terbabit dalam projek itu.

"Kerja pemuliharaan dibuat hari ini memandangkan taman negeri ini akan ditutup pada 1 Disember ini berikutan musim tengkujuh dan bakal kembali beroperasi Februari tahun hadapan.

"Buat masa sekarang, kami menetapkan had daya tampung pengunjung seramai 80 orang pada satu-satu masa berbanding 150 sebelum ini kerana perlu mengambil langkah waspada dalam tempoh pandemik yang masih belum berakhir ini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi program pemuliharaan laluan pendakian hari ini, semua peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan memfokuskan kerja penyelenggaraan di laluan berbeza.

PESERTA program pemuliharaan laluan pendakian kaki Gunung Stong ke Kem Baha memasang tali di batuan untuk kemudahan pendaki.  FOTO Siti Rohana Idris
PESERTA program pemuliharaan laluan pendakian kaki Gunung Stong ke Kem Baha memasang tali di batuan untuk kemudahan pendaki. FOTO Siti Rohana Idris

Menurutnya, penyelenggaraan berterusan perlu dibuat di laluan pendakian setinggi kira-kira 450 meter itu lebih-lebih lagi terhadap pokok tumbang, pokok mati dan dahan boleh memberi risiko kepada pengunjung.

"Tiga kumpulan dibahagikan secara sama rata untuk membuat beberapa tugasan seperti pemasangan tali di laluan berbatu atau bercuram, pembersihan pokok atau buluh tumbang, mengalihkan laluan air dan menyelenggara laluan pendakian menggunakan ban pasir atau susun semula batuan supaya kemas.

"Selain itu satu kumpulan akan membuat penyelenggaraan dan pembersihan di kawasan tapak perkhemahan Kem Baha dan baik pulih kemudahan di kawasan itu secara gotong-royong," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menaikkan semula produk ekopelancongan seperti itu, peranan malim gunung sangat penting bagi mempromosikan segala aktiviti serta lokasi berpotensi menarik ramai pengunjung.

Menurutnya, keadaan muka bumi Taman Negeri Gunung Stong agak mencabar buat pendaki dan pihaknya melihat keperluan untuk mewajibkan pengunjung supaya menggunakan khidmat malim gunung.

Katanya, malim gunung lebih arif dan tahu selok belok laluan pendakian dan mereka berperanan sebagai mata-mata kepada jabatan itu untuk memantau kemasukan pengunjung, menjaga kebersihan serta keselamatan pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:25 PM