SEBANYAK 408 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan 840kg tepung gandum serbaguna yang disimpan di bawah garaj di sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Merah Dalam dirampas KPDNHEP Kelantan. FOTO Ihsan KPDNHEP
SEBANYAK 408 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan 840kg tepung gandum serbaguna yang disimpan di bawah garaj di sebuah kedai runcit di Kampung Bukit Merah Dalam dirampas KPDNHEP Kelantan. FOTO Ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Memberi alasan tidak tahu perlu mempunyai lesen pemilikan barang kawalan, pemilik kedai runcit di Kampung Bukit Merah Dalam, di sini, berdepan dengan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sebanyak 408 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dan 840kg tepung gandum serbaguna dirampas dalam premis itu oleh sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada 10 pagi semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya merampas dua barang kawalan berkenaan dianggarkan bernilai RM3,120 selepas menyerbu kedai runcit terbabit.

"Kami menemui sejumlah minyak masak dan tepung gandum yang diletakkan di bawah garaj dalam kawasan sebuah rumah di lot terbabit

"Sitaan terhadap kedua-dua barang kawalan itu dibuat kerana pemilik premis gagal mengemukakan sebarang lesen sah mengenai pemilikan barang kawalan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aswadi berkata, ketika serbuan, pemiliknya tiada di premis dan pekerjanya memaklumkan mereka tidak tahu perlu mempunyai lesen untuk pemilikan barangan kawalan dan bersubsidi.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutama membabitkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 2:03 PM