PEGAWAI KPDNHEP menunjukkan minyak masak yang disita. FOTO ihsan  KPDNHEP
PEGAWAI KPDNHEP menunjukkan minyak masak yang disita. FOTO ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Penyamaran dua anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai pembeli minyak masak membongkarkan aktiviti pemilik runcit yang menyimpan minyak masak dalam premisnya.

Penahanan lelaki berusia 46 tahun itu dibuat selepas dia enggan menjual minyak masak kepada anggota yang menyamar dengan alasan kedai runcitnya tidak dibuka.

Susulan itu, sekumpulan pegawai dan anggota KPDNHEP dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali serta Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat serbuan di premis itu di Pasir Tumboh, 12.45 tengah hari semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, pemeriksaan kedai runcit berkenaan menjumpai 71 kotak minyak masak yang diletakkan di ruangan hadapan premis itu.

"Pemiliknya diminta untuk menunjukkan resit pembelian dan resit jualan berkaitan minyak masak itu tetapi penama gagal mengemukakan dokumen terbabit.

"Lelaki itu juga mengaku bahawa minyak masak yang berjumlah 1,207 paket itu sudah berada di premisnya sejak 19 Julai lalu," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Aswadi berkata, semua minyak masak dianggarkan bernilai RM3,517.50 itu disita manakala pemilik premis ditahan bagi siasatan berkaitan menyorok barang kawalan atau memusnahkannya, enggan menjual barang kawalan dan gagal menyelenggara buku stok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Seksyen 16(1)(b) AKB 1961 dan Peraturan 13 Peraturan Kawalan Bekalan (PKB) 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 1:20 PM