ANTARA tong yang digunakan untuk menyeludup petrol. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANTARA tong yang digunakan untuk menyeludup petrol. FOTO Ihsan KPDNHEP
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kelekaan empat individu mengisi petrol untuk diseludup di dalam empat kenderaan berasingan membawa padah apabila kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa, di sini, pada 1.30 pagi, hari ini.

Hasil penahanan empat individu itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 1,462 liter petrol bernilai RM1,556.50 serta sebuah Mitsubishi Pajero dan tiga Proton Wira Aeroback.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Negeri Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, rampasan itu hasil Operasi Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali, Kelantan, bermula semalam, di sekitar Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu.

"Ketika rondaan sedang dijalankan anggota terserempak keempat-empat pemandu ini sedang mengisi minyak di kenderaan masing-masing dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota mendekati mereka sebelum memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan pada kesemua kenderaan terbabit mendapati, mereka mengubah suai tangki minyak yang berkapasiti besar selain menggunakan beberapa tong jerikin bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kesemua petrol yang diisi ini dipercayai cuba dibawa seludup ke negara jiran melalui pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Aswadi berkata, modus operandi mereka ada membuat pergerakan secara berkumpulan dengan pembelian petrol di beberapa stesen minyak menggunakan tangki yang sudah diubah suai berkapasiti besar selain bergerak pada tengah malam atau awal pagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Selain itu, kesemua suspek disyaki tanpa sebarang kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan dengan tujuan penyeludupan ke negara jiran juga disiasat bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Siasatan lanjut juga dijalankan terhadap stesen minyak di bawah akta sama dan kesemua kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM2 juta bagi perbadanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 4:20 PM