LORI tangki yang disita kerana terbabit aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Keningau. FOTO KPDNHEP
LORI tangki yang disita kerana terbabit aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Keningau. FOTO KPDNHEP
Juwan Riduan

Keningau: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi bernilai RM98,345 dalam serbuan dilakukan di sebuah stor di daerah ini, malam tadi.

Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, pasukan operasi berjaya merampas 8,300 liter diesel dan menyita lori tangki serta sebuah kenderaan 'prime mover' berserta peralatan.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, serbuan ini adalah hasil risikan selama seminggu berhubung kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di daerah berkenaan.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Modus operandi adalah dengan membeli minyak diesel melalui pengisian ke tangki kenderaan 'prime mover'. Seterusnya memindahkan minyak dari tangki kenderaan prime mover berkenaan ke dalam lori tangki yang terletak di stor itu.

"Berdasarkan keterangan awal, premis itu tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel bersubsidi berkenaan.

"Siasatan turut dijalankan terhadap stesen-stesen minyak terbabit sama ada bersubahat dengan kegiatan ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 1:37 PM