HABIBI (tengah) menunjukan barang kemas dan duit yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. Foto EDMUND SAMUNTING.
HABIBI (tengah) menunjukan barang kemas dan duit yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. Foto EDMUND SAMUNTING.
Junaidi Ladjana


POLIS menahan empat lelaki disyaki menyamar sebagai wanita dengan menggunakan aplikasi WeChat bagi memperdaya seorang lelaki sebelum menyamun mangsa.

Keempat-empat suspek berusia 21 hingga 27 tahun ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dalam tempoh 24 jam selepas melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 23 tahun berkenalan dengan seorang ‘wanita’ melalui WeChat sebelum mereka membuat temu janji berhampiran sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, jam 3 pagi, 15 Januari lalu.

“Pada masa yang dijanjikan, ketika mangsa menunggu wanita itu tiba-tiba empat lelaki menghampirinya lalu berlaku pertengkaran.

“Suspek kemudian memukul mangsa dan mengambil wang tunai serta kad ATM mangsa dengan kerugian dianggarkan RM1,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum membuat laporan polis.

“Berdasarkan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu menahan salah seorang suspek di sebuah stesen minyak di Kampung Air, Kota Kinabalu, jam 10.30 pagi pada hari sama.

“Soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan tiga lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Polis turut merampas telefon bimbit digunakan suspek serta sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati modus operasi suspek iaitu menyamar sebagai wanita melalui aplikasi WeChat sebelum mengajak mangsa berjumpa dan menyamunnya.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes membabitkan kes penipuan menyamar sebagai wanita sebelum menyamun mangsa.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:07 PM