ANTARA barang kes yang dirampas.
ANTARA barang kes yang dirampas.
myMetro

Shah Alam: Kegiatan jenayah dua lelaki warga tempatan yang sanggup mencetak duit palsu semata-mata untuk membeli telefon bimbit yang diiklankan menerusi satu laman sesawang berakhir selepas mereka dicekup polis di sebuah rumah di Bayu Perdana, Klang, awal pagi Ahad lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 27 dan 37 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama seorang wanita warga Thailand berusia 26 tahun dipercayai teman wanita salah seorang penjenayah berkenaan.

Ketua JSJK Selangor, Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin berkata, hasil serbuan polis menemui 106 wang tunai RM100 palsu, dua mesin cetak, sembilan telefon bimbit serta satu komputer riba yang dipercayai digunakan untuk menipu mangsanya.

“Tangkapan dilakukan selepas seorang wanita mengiklankan untuk menjual telefon bimbit berharga RM2,000 di satu laman sesawang sebelum suspek menghubungi mangsa untuk berjumpa di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, minggu lalu.

“Dalam urus niaga berkenaan, mangsa menyerahkan telefon berkenaan kepada suspek dan bayaran dilakukan sebelum suspek beredar. Mangsa hanya menyedari wang itu palsu selepas suspek menghilangkan diri,” katanya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:22 AM