Mohd Roji Kawi

Kuching: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyangkal dakwaan beberapa pihak bahawa negeri ini menerima agihan yang tidak adil dalam Belanjawan 2021.

Katanya, peruntukan berjumlah RM4.5 bilion yang diumumkan itu adalah untuk pembangunan infrastruktur dan pihak terbabit tidak menyedari banyak lagi peruntukan terus kepada golongan sasar yang diagihkan menerusi kementerian tertentu.

Justeru beliau berkata, penambahan hanya sebanyak RM100 juta berbanding RM4.4 bilion dalam Belanjawan 2020 ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukanlah isu besar kerana Sarawak sebenarnya memperolehi jumlah peruntukan besar, yang tidak termasuk dalam RM4.5 bilion yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.

"Antaranya kita mendapat semula peruntukan untuk penyukatan primeter tanah hak adat Bumiputera (NCR) yang dihentikan sebelum ini (dalam Belanjawan 2020).

"Selain itu, Sarawak juga mendapat peruntukan besar yang memberi manfaat terus kepada golongan sasar iaitu rakyat seperti peruntukan kebajikan untuk golongan penerima bantuan bulanan, peruntukan yang disalurkan kepada usahawan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, di sini, hari ini.

Shapidah membetulkan tiub saluran makanan anaknya Mohd Zaki yang koma akibat kemalangan jalan raya sejak tiga tahun lalu. FOTO Adnan Ibrahim
Shapidah membetulkan tiub saluran makanan anaknya Mohd Zaki yang koma akibat kemalangan jalan raya sejak tiga tahun lalu. FOTO Adnan Ibrahim

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak di media sosial bahawa Sarawak sepatutnya mendapat peruntukan yang lebih besar kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah 'King Maker' dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak turut mendapat agihan menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya khususnya kalangan pemain industri pelancongan dan juga peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Malah menerusi peruntukan yang disalurkan kepada Kementerian Pendidikan juga kita menerima agihan.

"Kita harus meneliti secara mendalam peruntukan yang kita terima dan harus menghargainya kerana inilah belanjawan terbesar dalam sejarah dengan sebahagian besarnya adalah untuk memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi yang terjejas kesan pandemik itu," katanya.

Sementara itu, mengenai Belanjawan Sarawak 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, beliau berkata, lebih 60 peratus peruntukan akan disalurkan untuk pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

"Berapa jumlah peruntukan Belanjawan Sarawak 2021, hanya akan diumumkan esok, tetapi apa yang dapat saya beritahu hari ini ialah sebahagian besarnya adalah untuk pembangunan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 4:29 PM