Mohd Roji Kawi


Kuching: Golongan muda di Sarawak dibantu untuk memiliki rumah sendiri menerusi Skim Bantuan Deposit Perumahan Sarawak.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, bantuan itu mensasarkan golongan muda yang baharu mendirikan rumah tangga bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, menerusi skim itu, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menanggung deposit RM10,000 bagi rumah yang berharga di bawah RM300,000.

"Kita memperuntukkan RM10 juta bagi tahun depan untuk bayaran deposit kepada golongan muda yang berhasrat membeli rumah," katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Belia Sarawak @ Satok di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebuayaan, Belia dan Sukan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari berucap di Majlis Program Jelajah Belia Sarawak @ Satok 2021 di Borneo Convention Centre Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Abang Johari berucap di Majlis Program Jelajah Belia Sarawak @ Satok 2021 di Borneo Convention Centre Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai sumber pendapatan tambahan yang mengukuhkan keyakinan kerajaan untuk melaksanakan dasar untuk kesejahteraan rakyat, termasuk golongan muda.

"Sarawak ada hasil cukai jualan daripada Petronas yang setakat ini kita sudah menerima sebanyak RM7 bilion sejak tiga tahun syarikat itu membayarnya," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kuantiti rumah mampu menampung permintaan, beliau sudah mengarahkan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) untuk membangunkan 2,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) setahun.

Sementara itu, Abang Johari berkata, tiga perkara utama perlu menjadi perhatian untuk melahirkan belia yang mampu memimpin masa akan datang.

"Tiga perkara penting itu ialah kualiti, wawasan dan objektif, agar mereka mampu menjadi pemimpin untuk mengambil alih kepimpinan daripada kita untuk meneruskan pembangunan Sarawak pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 5:58 PM