Mohd Roji Kawi

Kuching: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyifatkan lirik lagu popular tahun 1980-an 'Madu dan Racun' sesuai untuk menggambarkan situasi yang dihadapi kerajaannya ketika ini.

Menurutnya, beliau dan kabinet negeri pimpinannya berada dalam dilema untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sudah hampir tamat.

Abang Johari mengakui beliau berada dalam keadaan serba salah berikutan pandemik Covid-19 melanda ketika Sarawak bersedia untuk mengadakan PRN-12 bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat mandat baharu.

"Seperti lirik lagu itu, 'madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu', begitulah apa yang kita hadapi ketika ini.

"Sekarang kita berada di tengah-tengah (tidak ke kanan atau ke kiri). Penggal kita (DUN Sarawak) dah nak habis, mandat (kerajaan negeri sekarang) pun dah nak habis, macam mana kita hendak mengatur keadaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, walau dalam keadaan apa sekali pun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih 'madu' dengan mengutamakan rakyat berikutan isu Covid-19 semakin meruncing.

"Kami tidak akan membiarkan rakyat Sarawak terdedah kepada ancaman wabak itu dan akan terus memastikan keselamatan kesihatan rakyat lebih penting daripada pilihan raya," katanya.

Konvensyen Khas PBB diadakan mengikut zon berikutan prosedur operasi standard menangani pandemik Covid-19 yang melarang perhimpunan beramai-ramai.

Sebelum ini, konvensyen sama diadakan di Zon Utara yang meliputi kawasan Miri, Limbang, Lawas dan Bintulu, diikuti Zon Tengah iaitu Sibu, Mukah, Sarikei dan Kapit serta Zon Betong membabitkan Betong serta Sri Aman.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti PBB, Sarawak Zon Selatan di Borneo Convention Centre Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Perasmian Konvensyen Khas Parti PBB, Sarawak Zon Selatan di Borneo Convention Centre Kuching. FOTO NADIM BOKHARI

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 6:23 PM