Nazdy Harun

Kuala Berang: Penantian lebih 40 tahun seorang warga emas berakhir apabila dia menerima geran tanah yang diteroka oleh arwah suaminya sebelum ini.

Esah Othman, 75, dari Felda Mengkawang, di sini, berkata dia bersyukur kerana akhirnya hajat arwah suami untuk mendapatkan geran sebelum ini sudah termakbul.

Menurutnya, selepas kematian suami, tanah berkenaan kini diusahakan anaknya bersama menantu yang sedikit-sebanyak dapat membantu menambah pendapatan keluarga.

"Arwah suami sudah meninggal kira-kira enam tahun lalu dan tanah seluas 10 ekar (4.04 hektar) yang ditanam kelapa sawit itu sudah melalui beberapa fasa tanaman semula dan hasilnya dapat menampung perbelanjaan keluarga.

"Alhamdulillah, akhirnya selepas 40 tahun saya memperoleh geran tanah secara sah dan ia satu yang amat menggembirakan," katanya.

Esah berkata demikian selepas majlis penyerahan dokumen Hak milik Rancangan Tanah Berkelompok Tapak Rumah dan Pertanian, Rancangan Tanah Felcra dan Felda serta Penyampaian Jadual 5 A daerah Hulu Terengganu di Dataran Ajil, di sini, hari ini.

Esah menunjukkan geran tanah yang diperolehnya. FOTO NAZDY HARUN
Esah menunjukkan geran tanah yang diperolehnya. FOTO NAZDY HARUN

Penerima lain Zulkifli Mukhtar, 36, dari Kampung Payang Kayu, di sini, berkata permohonan untuk mendapatkan tanah di bawah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang dipohon sejak 10 tahun lalu akhirnya berjaya.

"Saya akan manfaat tanah ini dengan sebaiknya dan tidak menduga akan terpilih menerima tanah ini berikutan permohonan sudah lama dilakukan.

"Sekarang saya tinggal dengan menyewa dan dengan adanya tanah sendiri setidak-tidaknya saya boleh membina sebuah rumah," katanya.

Katanya, penantian 10 tahun untuk mendapatkan tanah sendiri berakhir selepas mendapat surat menyatakan dia turut menerima tanah di bawah RTB di daerah ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, seramai 870 pemohon tanah di daerah ini menerima geran pemilikan tanah apabila permohonan mereka diluluskan kerajaan negeri.

Menurutnya, penerima geran hak milik di enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) terbabit iaitu Padang Ragut Kampung Tapah, Bukit Tinggi, Kampung Basong, Bukit Nyior, Kuala Por dan Bukit Tualang.

Katanya, turut menerima geran ialah enam Rancangan Tanah Felcra dan Felda di kawasan Hulu Terengganu iaitu Felda Mengkawang, Felda Tersat (Tambahan), Felcra Bukit Kapah III (Tambahan), Felcra Bukit Kapah (Belia), Felcra Kampung Tapah (Paya Burung) dan Felda Jerangau Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 3:16 PM