KEADAAN Nissan Almera yang terbabit kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, yang mengorbankan seorang wanita. (Gambar kecil) Kamarul Hayati. FOTO ihsan polis
KEADAAN Nissan Almera yang terbabit kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, yang mengorbankan seorang wanita. (Gambar kecil) Kamarul Hayati. FOTO ihsan polis
Nor Amalina Alias


“SELANG tiga hari, saya hilang dua anak secara mengejut, tapi ini sudah takdir,” kata Esah Abdullah.

Esah, 82, ibu kepada Allahyarham Kamarul Hayati Mohd Yusoff, 56, yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 22.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pantai Kelulut, Terengganu, pada jam 1.15 pagi tadi.

Esah berkata, Kamarul Hayati yang juga kakitangan UiTM Dungun dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Dungun selepas menziarahi abang sulungnya, Kamaruzzaman Mohd Yusoff, 60, meninggal dunia akibat sakit jantung, di Kelantan, Ahad lalu.

Katanya, Kamaruzzaman meninggal dunia di Melor dan kini arwah pula mengikutinya apabila terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawa.

“Kami masih dalam keadaan bersedih dengan kematian anak sulung, kini kehilangan anak ketiga pula, kedua-dua berlaku secara mengejut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chempaka, di Kota Bharu, hari ini.

Esah berkata, Kamarul Hayati sempat membantunya mengurus majlis tahlil arwah abangnya namun tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

Katanya, arwah sememangnya seorang yang agak pendiam namun mempunyai ramai kawan.

“Kali terakhir berjumpa arwah pada waktu Zohor semalam sebelum arwah balik ke rumahnya di Kampung Lanchang, Ketereh. Dia sempat beritahu nak balik ke Terengganu untuk bekerja, kemudian pagi tadi saya dapat panggilan anak dah tiada,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Jenazah selamat dikebumikan pada jam 5.40 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Mata Pasir, Kampung Chempaka, di sini.

Dalam kejadian 1.15 pagi tadi, Kamarul Hayati meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama anak lelakinya terbabit dalam nahas terbabit.

Nahas juga menyebabkan anaknya, Mohamad Syah Al Hazeem Mohamad, 23, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:47 PM